Akmal pengarah muda sedang meningkat naik dibelenggu krisis rumahtangga di sebalik kerjayaannya. Perkenalan Akmal dengan Saraswati, seorang penulis skrip, menyedarkannya bahawa pernikahannya dengan Farhana adalah satu kesilapan. Walaupun begitu Akmal terlalu menyayangi zuriatnya Aziq dan Awin dan tak sanggup kehilangan mereka. Hubungan Akmal dan Saraswati mulai membuah bibit cinta namun Saraswati menyedari yang Akmal telah berkeluarga, berusaha menafikan perasaannya terhadap lelaki itu. Namun karisma, perhatian dan peribadi Akmal membuatkan Saraswati menyerah kalah dan mengakui bahawa dia telah jatuh cinta pada Akmal. Kehadiran Saraswati dalam hidup Akmal menjadikan Akmal mula kembali bersemangat seperti juga Saraswati yang juga memerlukan Akmal sebagai teman setelah putus tunang dengan Riezman. Nekad untuk memiliki Saraswati, Riezman kemudian memberitahu Farhana tentang hubungan Akmal dan Saraswati. Farhana yang sudah lama terluka makin terluka dan bertindak keluar dari rumah bersama kedua anaknya kerana mengetahui betapa dalamnya kasih sayang Akmal kepada Awin dan Aziq. Farhana kemudian menuntut cerai. Akmal terpukul dengan tindakan Farhana sementah lagi dia terpisah dengan kedua-dua permata hatinya. Dia mulai menjauhi Saraswati kerana merasakan Saraswati punca dia kehilangan kedua anaknya. Namun Saraswati terus setia memberi kekuatan dan bertekad mendampingi Akmal tetapi perubahan sikap Akmal telah melukakan hatinya sehingga mereka berpisah. Riezman mengambil kesempatan tersebut untuk mendekati Saraswati kembali. Namun, Saraswati tetap menolak Riezman dan mengambil keputusan untuk menyusul kedua ibu bapanya yang tinggal di Kanada. Akmal yang mendapat tahu tentang rancangan Saraswati untuk pergi menjadi tidak tentu arah. Dia sangat mencintai Saraswati dan tidak mahu melepaskan gadis itu, tetapi, pada masa yang sama dia takut kehilangan Aziq dan Awin. Akmal berusaha untuk mendapatkan Saraswati kembali, namun gadis itu telah mengambil keputusan yang dianggapnya terbaik untuk mereka berdua. |