Ganesh, Lee Chin, Siti dan Ah Mei menerima kunjungan pemilik baru syarikat mereka, iaitu Chow Yun. Mereka semua berpakaian moden kecuali Ah Mei yang kelihatan ayu berbaju kebaya. Chow Yun seorang lelaki yang kacak dan bergaya tertawan dengan keayuan dan kesopanan Ah Mei pada pandangan pertama. Dia cuba berbahasa Cina dengan Ah Mei namun terkejut setelah diberitahu oleh Ganesh bahawa Ah Mei tidak tahu bertutur dalam bahasa Cina. Ah Mei gadis berketurunan Baba dan masih berpegang kuat kepada budayanya. Dia pernah jatuh cinta namun teman lelakinya, Ah Lok meninggal dunia kerana kemalangan jalan raya. Mei sering teringatkan Ah Lok yang merupakan cinta pertamanya. Chow pula sudah bertunang dengan Feifei, gadis pilihan keluarganya namun dia tidak suka dengan sikap Feifei yang terlalu sosial. Chow meminati Ah Mei namun Ah Mei kurang yakin kerana sedar dirinya yang tidak pandai bergaya dan nampak ‘kekampungan'. Suatu hari Ah Mei terpaksa pulang ke kampung tergesa-gesa kerana ayahnya diserang sakit jantung. Nyonya memberitahu Ah Mei ayahnya harus menjalani pembedahan segera dengan kos sebanyak RM40 ribu. Mei bimbang dengan keadaan ayahnya. Chow cuba mendapatkan nasihat daripada Ganesh tentang Mei. Ganesh yang memahami perasaan Chow , bersedia membantunya memikat Mei. Ganesh mula merancangkan strategi untuk membantu Chow memikat Mei. Chow membuat keputusan untuk memutuskan pertunangannya dengan Feifei selepas ternampak tunangnya keluar dengan lelaki lain dalam keadaan mabuk. Namun keputusan tersebut dibantah keras oleh ibunya. Demi untuk membuktikan kata-katanya, Chow membawa ibunya ke apartment Feifei. Ibu Chow terkejut melihat kecurangan Feifei yang berani tidur dengan lelaki lain tanpa rasa malu dan menyesal kerana tidak mempercayai anak sendiri. |